Terima Kasih...

.
Blog Liga Subang Musim 2009/2010 mengucapkan jutaan terima kasih kepada Y.B. Dato' Ir. Muhammad Bushro Bin Mat Johor yang menjadikan Liga Subang ini satu kenyataan.

Terima kasih juga kepada Jawatankuasa Penganjur pimpinan Sdra. Harrison Bin Hassan serta Jawatankuasa Pertandingan yang terdiri dari para pegawai Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pimpinan En. Hamdan Bin Hashim yang telah banyak membantu menjayakan Blog Liga Subang ini.

Teristimewa sekali ucapan terima kasih kepada para pengunjung blog ini yang turut memeriahkan acara Kejohanan Bolasepak Liga Subang ini bukan sahaja di padang-padang bolasepak, tetapi juga di blog ini menerusi ulasan-ulasan yang diberikan.

Tanpa sokongan anda semua, apalah sangat blog ini...

Sebagai mengakhiri musim Liga Subang ini, Blog Liga Subang mempertontonkan kepada rakan pengunjung sekalian, ucapan dari Y.B. Dato' Ir. Muhammad Bushro sendiri...

MAJULAH SUKAN UNTUK 1SUBANG DAN 1MALAYSIA!

Piala F.A milik SIA RRI

.


Kejohanan Bolasepak Liga Subang Musim 2009/2010 melabuhkan tirainya di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya petang semalam dengan kemenangan pasukan SIA RRI merebut gelaran Juara Piala F.A musim ini apabila berjaya menewaskan pasukan HYFAC dengan jaringan dua gol tanpa balas.

Permainan terikat tanpa sebarang gol di separuh masa pertama. Berbanding pasukan SIA RRI yang lebih banyak menguasai permainan, pasukan HYFAC mempamerkan permainan yang kurang menyerlah di samping bahagian serangannya yang agak lemah.

SIA RRI mendapat gol pertama mereka di minit ke 12 separuh masa kedua sebelum berjaya menyumbatkan satu lagi gol selang seminit kemudian. Keadaan ini dilihat bukan sahaja melemahkan semangat pemain HYFAC, malahan turut menghampakan para penyokong HYFAC yang membanjiri ruang utama stadium.

Dengan kemenangan tersebut, pasukan SIA RRI membawa pulang piala pusingan, pingat dan hadiah RM3,000.00 manakala HYFAC sebagai Naib Johan menerima RM2,000.00 serta pingat.

Hadiah dan pingat untuk Johan dan Naib Johan disampaikan sendiri oleh pengasas dan penaung Kejohanan Bolasepak Loga Subang, Y.B. Dato' Ir. Muhammad Bushro Bin Mat Johor.

Pasukan ABC ALL STAR dan PPTSB FC yang tewas di peringkat separuh akhir Piala F.A turut mendapat hadiah RM1,000.00 berserta pingat dan ianya disampaikan oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Subang merangkap Penyelaras BN DUN Kota Damansara, Datuk Megat Firdouz Bin Tan Sri Megat Junid.

Dengan ini, berakhirlah sudah kejohanan pada musim ini. Tahniah diucapkan kepada SIA RRI sebagai Johan Piala F.A dan pasukan CRT TEAM sebagai Johan Liga Subang serta kepada semua pasukan yang mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang kejohanan ini berlangsung selama enam bulan.

Sekian.

Perlawanan Pertunjukan Dibatalkan

.
Hanya tinggal dua hari sahaja lagi sebelum perlawanan akhir Piala F.A antara HYFAC dan SIA RRI berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada hari ahad ini.

Seperti yang dijadualkan dan dihebahkan sebelum ini, perlawanan akhir yang akan berlangsung pada jam lima petang itu akan didahului dengan perlawanan pertunjukan yang bermula pada jam empat petang.

Mengikut perancangan pada awal musim, perlawanan pertunjukan tersebut adalah di antara pasukan pilihan Pergerakan Pemuda UMNO Selangor menentang pasukan pilihan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang.

Namun memandangkan para ahli dan pimpinan pergerakan tersebut sedang sibuk dengan musim persidangan tahunan cawangan-cawangan pertubuhan berkenaan yang bermula dari 1 Mei 2010 hingga 15 Jun 2010, maka perlawanan pertunjukan antara kedua-dua pasukan tersebut terpaksa dibatalkan.

Sehingga berita ini ditulis, masih belum terdapat maklumat seandainya slot perlawanan yang kosong berkenaan akan diganti dengan acara lain.