Piala F.A milik SIA RRI

.


Kejohanan Bolasepak Liga Subang Musim 2009/2010 melabuhkan tirainya di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya petang semalam dengan kemenangan pasukan SIA RRI merebut gelaran Juara Piala F.A musim ini apabila berjaya menewaskan pasukan HYFAC dengan jaringan dua gol tanpa balas.

Permainan terikat tanpa sebarang gol di separuh masa pertama. Berbanding pasukan SIA RRI yang lebih banyak menguasai permainan, pasukan HYFAC mempamerkan permainan yang kurang menyerlah di samping bahagian serangannya yang agak lemah.

SIA RRI mendapat gol pertama mereka di minit ke 12 separuh masa kedua sebelum berjaya menyumbatkan satu lagi gol selang seminit kemudian. Keadaan ini dilihat bukan sahaja melemahkan semangat pemain HYFAC, malahan turut menghampakan para penyokong HYFAC yang membanjiri ruang utama stadium.

Dengan kemenangan tersebut, pasukan SIA RRI membawa pulang piala pusingan, pingat dan hadiah RM3,000.00 manakala HYFAC sebagai Naib Johan menerima RM2,000.00 serta pingat.

Hadiah dan pingat untuk Johan dan Naib Johan disampaikan sendiri oleh pengasas dan penaung Kejohanan Bolasepak Loga Subang, Y.B. Dato' Ir. Muhammad Bushro Bin Mat Johor.

Pasukan ABC ALL STAR dan PPTSB FC yang tewas di peringkat separuh akhir Piala F.A turut mendapat hadiah RM1,000.00 berserta pingat dan ianya disampaikan oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Subang merangkap Penyelaras BN DUN Kota Damansara, Datuk Megat Firdouz Bin Tan Sri Megat Junid.

Dengan ini, berakhirlah sudah kejohanan pada musim ini. Tahniah diucapkan kepada SIA RRI sebagai Johan Piala F.A dan pasukan CRT TEAM sebagai Johan Liga Subang serta kepada semua pasukan yang mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang kejohanan ini berlangsung selama enam bulan.

Sekian.

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Jangan salahgunakan kebebasan bersuara yang diberikan. Ulaslah dengan berhemah dan tidak menggunakan perkataan atau ayat yang boleh menyinggung perasaan kaum atau agama tertentu. Berikan ulasan yang membina demi kemajuan dan pembangunan sukan bolasepak di kawasan kita ini. Harap bekerjasama.