CRT Team hebat

.
PETALING JAYA – CRT Team muncul juara Pertandingan Bola Sepak Liga Subang Piala Datuk Ir Muhammad Bushro Mat Johor setelah menewaskan PJBB FC 5-0 pada perlawanan akhir di Stadium MBPJ, petang, kelmarin.

Beraksi di padang basah, kelincahan dan kelicikan pemain CRT Team gagal dihalang pemain PJBB FC apabila Mohd Azrif Nasrulhag Badrul Hisham seawal minit kelima permainan.

Tersentak dengan gol awal tersebut, pemain PJBB FC mula mengatur gerakan yang lebih kemas dan mula menyerang kubu lawan untuk mendapatkan gol penyamaan.

Namun, kecederaan beberapa pemain utama mereka yang tidak dapat beraksi di lihat agak menyukarkan PJBB FC untuk mendapatkan gol sebaliknya, Saiful Nazarruddin Manja menambah gol buat CRT Team.

Separuh masa kedua bermula, CRT Team terus berusaha menambah jaringan dengan melakukan asakan demi asakan melalui gerakan pantas terutama melalui bahagian sayap dan berjaya memperoleh gol ketiga melalui Muhd Shazwan Sobri sebelum Azrif Nasrulhaq sekali lagi menjaringkan gol.

Muhammad Azfar Aqwa Badrul Hisham melengkapkan kemenangan bergaya CRT Team dengan menjaringkan gol kelima tidak lama sebelum wisel penamat ditiupkan.

Selaku juara, CRT Team membawa pulang hadiah RM5000 beserta Piala Pusingan, Piala Iringan dan medal manakala PJBB FC menerima RM3,000 dan medal.

Sementara, HYFAC dan Kampung Melayu Sungai Buloh menerima RM1,000 dan medal setelah layak ke peringkat separuh akhir.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, yang juga penganjur kejohanan, Datuk Ir Muhammad Bushro Mat Johor.

Muhammad Bushro berkata, kejohanan ini telah berlangsung dengan jayanya sejak dianjurkan lima bulan lalu.

“Secara keseluruhannya juga ia telah melibatkan kira-kira 1,000 pemain sekitar Parlimen Subang daripada 40 pasukan yang bertanding.

“Saya yakin dengan adanya pertandingan seperti ini, kita dapat mengembalikan semangat kesukanan anak muda di sini selain dapat memupuk perpaduan kaum kerana kebanyakan pasukan bertanding melibatkan penyertaan pelbagai kaum,” katanya.

Turut berlangsung sebelum perlawanan akhir, perlawanan persahabatan Pilihan Pemuda UMNO yang diketuai Khairy sendiri menentang Pilihan Pemuda UMNO Subang yang turut dibarisi Muhammad Bushro.

Perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan seri 0-0. - Sinar Harian 23/03/2010


Koleksi gambar sekitar hari perlawanan, sila lihat Galeri Foto.

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Jangan salahgunakan kebebasan bersuara yang diberikan. Ulaslah dengan berhemah dan tidak menggunakan perkataan atau ayat yang boleh menyinggung perasaan kaum atau agama tertentu. Berikan ulasan yang membina demi kemajuan dan pembangunan sukan bolasepak di kawasan kita ini. Harap bekerjasama.