Saingan Liga Subang ke penghujung

.
SINAR HARIAN 25 Februari 2010
Oleh : Norshahzura Mat Zuki


SUNGAI BULOH – Liga Bola Sepak Subang Piala Datuk Muhammad Bushro Mat Johor sudah tiba ke penghujungnya apabila dijangka akan diadakan pada 21 Mac depan dan Pertandingan Bola Piala FA Subang pula akan diadakan pada 6 Mac nanti dan dijangka akan berakhir pada 28 April depan.

Penasihat pertandingan itu, Datuk Muhammad Bushro Mat Johor berkata, walaupun pertandingan liga itu berlaku insiden yang tidak diingini iaitu satu pasukan digantung namun tidak mematahkan semangat 39 pasukan lain untuk terus merebut kejuaraan dalam pertandingan itu yang diadakan sejak November lalu.

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan dalam pertandingan ini dan UMNO Bahagian Subang tidak akan teragak-agak untuk meneruskan program sebegini pada masa akan datang kerana banyak lagi pasukan lain berhasrat untuk menyertai pertandingan ini,” katanya.

Menurutnya, pada pertandingan akhir itu nanti ia turut dimeriahkan dengan perlawanan persahabatan antara UMNO Bahagian Subang dan Pemuda UMNO Malaysia.

Beliau berkata, dalam pertandingan itu golongan belia di sekitar Parlimen Subang melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras, Kota Damansara dan Bukit Lanjan berpeluang merebut hadiah keseluruhan bernilai RM27,000 dan pingat dalam pertandingan itu yang telah bermula pertengahan November lalu.

“Juara kejohanan tersebut yang merupakan anjuran Kelab Putera Subang ini akan membawa pulang wang tunai bernilai RM5,000, Naib juara RM3,000 manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing akan menerima RM1,000,” katanya.

Buhsro berkata, pihaknya akan memilih 20 pemain terbaik untuk mewakili Selangor dan ia menjadi hasratnya untuk menjadikan impian remaja sebagai realiti apabila mereka boleh duduk sebaris dengan pemain bola sepak negeri.

“Kita akan cungkil bakat terpendam mereka,” katanya yang merupakan bekas pengurus kelab Bola Sepak Selangor bawah 21 tahun.

Program itu turut mendapat kerjasama daripada anggota keselamatan seperti tentera, badan bukan kerajaan (NGO) dan Pejabat Belia daerah Petaling.

“Perlawanan bola sepak yang diadakan akan menggunakan padang yang terdapat di Parlimen Subang seperti Padang Paya Jaras Hilir, padang di Kota Damansara Seksyen 7 dan Paya Jaras Pasar Malam serta digunakan pada setiap Sabtu dan Ahad sahaja.

“Saya berharap dengan perlawanan bola sepak yang diadakan dapat mengumpulkan penduduk kampung untuk bersama menonton perlawanan bola sepak dan memberikan sokongan pada kepada pasukan pilihan mereka,” katanya.

Bushro berkata, antara pasukan yang terlibat mewakili ketiga-tiga DUN yang terdapat dalam Parlimen Subang seperti Bamboo River, Sri Indah A, Uptown Spider dan Subang Setia FC.

Beliau berkata, program yang dirangka oleh UMNO Bahagian Subang akan diadakan secara berterusan kerana rakyat bukan sahaja dapat menjalani kehidupan yang sihat tetapi ia dapat mengukuhkan perpaduan melibatkan pelbagai bangsa dan agama.

1 ulasan:

  1. tahniah kpd semua team yg bermain shg ke perlawanan terakhir peringkat kumpulan.. yg layak, teruskan ke peringkat suku akhir, separuh akhir dan akhir.. yg tak bernasib baik, masih ada peluang ke perlawanan piala fa..

    BalasPadam

Jangan salahgunakan kebebasan bersuara yang diberikan. Ulaslah dengan berhemah dan tidak menggunakan perkataan atau ayat yang boleh menyinggung perasaan kaum atau agama tertentu. Berikan ulasan yang membina demi kemajuan dan pembangunan sukan bolasepak di kawasan kita ini. Harap bekerjasama.